Khamis, 14 Februari 2019 | 12:44am
KETUA Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid. - NSTP/Danial Saad

Pengurus ditahan buat laporan palsu wang syarikat RM35,000 kena ragut

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang pengurus wanita stesen minyak kerana disyaki membuat laporan palsu kehilangan wang RM35,000 milik syarikat dengan mendakwa beg tangannya diragut di Sungai Rambai, di sini, kelmarin.

Siasatan lanjut polis mendapati wanita berusia 59 tahun itu menipu, malah menggunakan wang syarikat sebanyak RM16,100 untuk berjudi dan membuat persiapan Tahun Baharu Cina, manakala sebahagian lagi duit berkenaan disimpan di dalam stesen minyak tempat dia bekerja.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata wanita itu ditahan pada jam 5.30 petang semalam di stesen minyak berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut, kita menemui wang tunai berjumlah RM18,900 yang disimpan di dalam stesen minyak itu, manakala selebihnya sudah digunakan suspek.

“Suspek juga didapati membuang telefon bimbit dan dokumen pengenalan dirinya ke dalam tong sampah di Jalan Padang Lalang, di sini, untuk mengaburi mata polis,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Terdahulu, suspek membuat laporan mendakwa kehilangan RM35,000 milik syarikat kononnya beg tangan diragut di stesen minyak tempat dia bekerja di Sungai Rambai ketika membawa wang itu untuk dimasukkan ke dalam bank.

Suspek mendakwa dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, dia yang sedang berjalan ke tempat letak kereta tiba-tiba diragut seorang lelaki bertopi keledar hitam dari arah belakang.

Nik Ros Azhan berkata, suspek akan direman di Mahkamah Bukit Mertajam, hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X