Rabu, 13 Februari 2019 | 10:17pm

Pengurus diragut hilang wang RM35,000 milik syarikat

BUKIT MERTAJAM: Seorang pengurus wanita kehilangan wang RM35,000 milik syarikat apabila beg tangannya didakwa diragut di sebuah stesen minyak tempat mangsa bekerja di Sungai Rambai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, mangsa berusia 59 tahun dikatakan membawa sejumlah wang milik stesen minyak berkenaan untuk dimasukkan ke dalam bank.

Bagaimanapun ketika berjalan ke tempat letak kereta, mangsa dikatakan tiba-tiba diragut seorang lelaki bertopi keledar hitam dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata suspek kemudian didakwa terus meloloskan diri sebelum mangsa sempat membuat pengecaman.

“Dalam kejadian itu, suspek didakwa meragut beg tangan mangsa dari arah belakang dan terus melarikan diri.

“Kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu pula tidak berfungsi sejak beberapa tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain kehilangan wang milik syarikat, mangsa memaklumkan wang tunai miliknya berjumlah RM300, telefon bimbit dan dokumen peribadi turut dilarikan suspek.

“Berdasarkan siasatan, mangsa memberitahu dia bekerja di stesen minyak berkenaan sejak 15 tahun lalu dan setiap hari akan ke bank untuk memasukkan wang kutipan.

“Mangsa juga memaklumkan tidak pernah memberitahu kepada sesiapa yang dia akan pergi ke bank untuk memasukkan duit kerana takut diekori orang,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X