Isnin, 11 Februari 2019 | 6:31pm
Peguam yang mewakili keluarga kepada Muhammad Adib, Yahaya Othman di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
Peguam yang mewakili keluarga kepada Muhammad Adib, Yahaya Othman di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Koroner, peguam lawat lokasi kejadian esok

SHAH ALAM: Koroner Rofiah Mohamad dan pihak berkepentingan bagi inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akan ke lokasi kejadian di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pagi esok.

Semua pihak dijadualkan hadir ke lokasi kira-kira jam 10.30 pagi.

Peguam mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kamaruzaman A Wahab berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa semua peguam, Timbalan Pendakwa Raya dan tiga saksi terlebih dulu akan berkumpul di mahkamah sebelum menuju ke lokasi kejadian.

“Ia bertujuan mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian itu di sekitar lokasi berkenaan.

“Sejurus selesai, kita akan berpatah balik semula ke mahkamah,” katanya ketika ditemui BH di pekarangan Mahkamah Koroner di sini, petang ini.

Selain Mohd Kamaruzaman, empat daripada tujuh peguam mewakili keluarga Muhammad Adib yang hadir iaitu Yahaya Othman, Mohamad Tajudin Abd Razak dan Mohamad Zubir Embong.

Dalam pada itu, kata Mohd Kamaruzaman, pihaknya setakat ini berpuas hati dengan prosiding hari pertama inkues berkenaan.

“Kami akan terus memaklumkan mengenai prosiding hari ini kepada keluarga Allahyarham,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Berita Harian X