Isnin, 11 Februari 2019 | 10:44am
PARA media yang hadir untuk mengikuti inkues hari pertama kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Inkues Adib: Seorang anggota polis terima laporan dijangka beri keterangan

SHAH ALAM: Anggota polis yang menerima laporan mengenai kebakaran dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ Subang pada November lalu menjadi antara saksi pertama dipanggil memberi keterangan dalam inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim yang dijadualkan bermula pagi ini.

Timbalan Pendakwa Raya kes berkenaan, Zhafran Rahim Hamzah, berkata saksi itu antara tiga individu yang akan memberi keterangan dalam prosiding di hadapan Koroner Rafiah Mohamad, hari ini.

“Dua saksi lain yang dijangka memberi keterangan hari ini adalah anggota bomba yang memandu Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) semasa kejadian itu,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum prosiding bermula.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya sudah menyenaraikan tujuh saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Tujuh saksi tetapi bukan semuanya dipanggil hari ini,” katanya.

Sementara itu, Zhafran berkata, permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil dan 50 penganut Hindu untuk menjadi pihak-pihak berkepentingan di Mahkamah Tinggi minggu lalu ditolak.

“Difahamkan mereka akan merayu di Mahkamah Rayuan, namun setakat ini kami belum menerima sebarang notis,” katanya.

Terdahulu, beberapa saksi terdiri daripada pihak bomba dan seorang lelaki dipercayai abang Muhammad Adib tiba di mahkamah jam 9.30 pagi.

Prosiding inkues yang diadakan di Mahkamah Koroner di sini, bagi mencari punca kematian anggota bomba Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Pada 27 Disember lalu, media melaporkan Peguam Negara akan mengarahkan majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau dimaklumkan sendiri oleh Peguam Negara, Tommy Thomas hasil perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Berita Harian X