X
Khamis, 7 Februari 2019 | 4:53pm

3 rakan didakwa rompak berkumpulan, menyamar anggota polis

KUALA LUMPUR: Tiga rakan masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang lelaki warga Bangladesh dan menyamar sebagai anggota polis, Januari lepas.

Mohd Azlan Hazilman, 30, penghantar surat; Mohd Azarul Ahmad, 32, peniaga burger; dan Mohd Siddiq Jahidin, 35, penganggur; membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan ke atas pekerja kedai serbaneka Jony Fozder, 22, dengan mengambil wang tunai berjumlah RM600 di kaki lima sebuah bank di Wangsa Maju di sini, pada 10.46 malam, 28 Januari lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh bersama-sama dengan niat menyamar sebagai penjawat awam iaitu sebagai anggota polis di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamaluddin tidak menawarkan jaminan kepada kesemua tertuduh manakala ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dibenarkan dengan alasan mereka daripada keluarga tidak berkemampuan.

Mahkamah membenarkan Mohd Azlan dan Mohd Azarul, masing-masing diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan Mohd Siddiq diikat jamin dan menetapkan 21 Feb untuk sebutan semula kes bagi ketiga-tiga tertuduh. – BERNAMA

Berita Harian X