Selasa, 5 Februari 2019 | 12:24pm
Timbalan Komander Risikan dan Operasi AKSEM Kedah, Inspektor Ananda Krishnan menunjukkan sebahagian 20 guni benih kerang yang ditemui di belakang bonet sebuah kereta Proton Perdana yang cuba diseludup dua lelaki ke Thailand. - Foto Zuliaty Zulkiffli
Timbalan Komander Risikan dan Operasi AKSEM Kedah, Inspektor Ananda Krishnan menunjukkan sebahagian 20 guni benih kerang yang ditemui di belakang bonet sebuah kereta Proton Perdana yang cuba diseludup dua lelaki ke Thailand. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Benih kerang RM100,000 dirampas

ALOR SETAR: Cubaan dua lelaki untuk menyeludup 20 guni berisi benih kerang bernilai RM100,000 ke negara jiran gagal apabila kereta Proton Perdana yang dinaiki mereka ditahan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Kilometer 4.8 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Changlun, di sini, malam tadi.

Kedua-dua lelaki berusia 30 dan 35 tahun itu dipercayai memandu kereta yang disyaki bernombor pendaftaran palsu itu dengan membawa benih kerang itu dari Batu Kurau, Perak untuk dibawa ke Thailand.

Timbalan Komander Risikan dan Operasi AKSEM Kedah, Inspektor Ananda Krishnan, berkata hasil risikan dan maklumat yang diterima anggotanya mendapati terdapat sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Pekan Changlun.

Beliau berkata, anggotanya menahan kereta itu pada jam 10.10 malam dan hasil pemeriksaan menemui beberapa guni putih anggaran berat 100 kilogram dalam bonet belakang kereta berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati, mereka diupah RM300 seorang untuk satu trip bagi membawa benih kerang itu dari Perak untuk diseludup ke negara jiran.

"Setakat ini mereka tidak mempunyai sebarang rekod dan kita percaya mereka menjalankan kegiatan itu mengikut musim benih kerang antara Januari hingga Mac malah kita akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kereta ini yang disyaki nombor palsu," katanya pada sidang media di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Anak Bukit, di sini, hari ini.

Ananda berkata, modus operasi yang dilakukan mereka adalah dengan membawa benih kerang ini sekitar jam 2 atau 3 pagi kerana benih ini tidak tahan panas selain mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, sebelum ini aktiviti penyeludupan benih kerang biasanya menggunakan kereta pelbagai guna (MPV) yang lebih besar untuk membawa benih kerang ini namun apabila kegiatan mereka sering dihidu pihak berkuasa, mereka menukar kereta persendirian bagi memudahkan pergerakan.

"Namun, hasil maklumat dan risikan yang kita lakukan, mereka akhirnya berjaya dijejaki juga walaupun pelbagai taktik digunakan.

"Nilai pasaran di Thailand yang mampu mencecah dua atau tiga kali ganda dari negara ini menyebabkan mereka sanggup menjadi penyeludup dengan mendapat upah berganda," katanya.

Ananda berkata, setiap guni mengandungi 10 kilogram benih kerang yang bersaiz kecil dan apabila diternak, ia akan menjadi lebih banyak dan untung.

Berikutan itu katanya, dua lelaki itu akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kedah untuk tindakan lanjut bersama benih kerang bernilai RM100,000 itu.

"Kes disiasat mengikut Perkara 3(1) Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur Kerang 2002) dan kes diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kedah untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X