Sabtu, 2 Februari 2019 | 8:23pm
KETUA Pengarah Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berusaha membersihkan bandaraya ini daripada sebarang elemen kesalahan di bawah undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT). - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi

Tiada istilah kebal di KL - DBKL

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini semakin agresif dalam usaha membersihkan bandaraya ini daripada sebarang elemen kesalahan di bawah undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ini termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap semua golongan daripada peniaga kecil sehinggalah pemilik premis perniagaan yang besar.

Ketua Pengarah Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood, berkata tiada sebarang istilah kebal di Kuala Lumpur pada hari ini yang membolehkan peniaga bebas daripada diambil tindakan.

“Tindakan penguatkuasaan membabitkan semua golongan dan bukan hanya terhadap peniaga yang tidak berlesen di sekitar kaki lima, malah turut membabitkan premis perniagaan terkemuka.

“Sebagai contoh sepanjang minggu ini kami turut menyita barangan dijual oleh pemilik kedai yang meletakkan barang mereka di kawasan kaki lima khususnya di sekitar Jalan Raja Laut, Lorong Haji Taib dan Jalan Petaling,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau turut menyangkal kononnya DBKL tidak pernah mengambil tindakan terhadap peniaga di sekitar Jalan Petaling (Petaling Street) dan Bukit Bintang kerana dikategorikan kebal.

“DBKL mengambil tindakan terhadap semua pihak yang didapati melakukan kesalahan, sebagai contoh melakukan sitaan barang-barang yang dijual di sekitar Petaling Street dan lokasi panas yang lain.

“Selain kedai menjual pakaian, jam tangan, beg tangan, minyak wangi dan permainan, DBKL turut melakukan sitaan terhadap pemborong dan peniaga premis perniagaan sekitar Jalan Chow Kit,” katanya.

Azman Mahmood berkata, pada masa ini Bahagian Penguatkuasaan juga turut menyita kerusi dan meja yang diletakkan oleh pemilik restoran dan kedai makan di kawasan parkir kereta atau kaki lima.

“Tindakan yang kita lakukan adalah untuk memberikan kesedaran kerana kesalahan yang dilakukan mereka menyusahkan orang ramai.

“Apabila mereka meletakkan kerusi dan meja makan di petak tempat letak kereta atau kaki lima, bagaimana orang lain nak letak kereta atau nak melalui kawasan kaki lima,” katanya.

Justeru apabila kesalahan dilakukan, tindakan penguatkuasaan harus diambil terhadap pelaku, sekali gus mendidik mereka untuk tidak mengulangi kesalahan sama atau berdepan tindakan pembatalan lesen perniagaan.

Sejak Isnin hingga semalam, Jabatan Penguatkuasaan DBKL sudah menyita dan mengambil tindakan terhadap lebih 50 pemilik premis perniagaan yang melakukan pelbagai jenis kesalahan.

Berita Harian X