Sabtu, 2 Februari 2019 | 1:14pm

Polis siasat motif pelancong Finland elak dirakam CCTV

ROMPIN: Tindakan pelancong Finland yang hilang di Pulau Tioman sejak 22 Jan lalu mengelak daripada dirakam kamera litar tertutup (CCTV) ketika berada di pulau peranginan berkenaan menimbulkan tanda tanya dan polis kini menyiasat motif sebenar lelaki tersebut berbuat demikian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, berkata kali terakhir imej Nikitin Aleksis Elus Valtteri, 20, dirakam CCTV ialah antara 7 dan 8.30 pagi pada 22 Januari ketika dia melalui kawasan sebuah kawasan penginapan.

“Ketika melalui sebuah resorts di Kampung Paya, mangsa yang memakai baju hitam dan berseluar panjang dilihat cuba menutup CCTV dengan tangannya selepas melalui kawasan itu.

“Polis masih menyiasat punca tindakan itu dan kita juga telah menyoal siasat beberapa individu yang berhubung dengan mangsa sebelum dilaporkan hilang bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di Pulau Tioman, di sini hari ini.

Menurutnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan sejak 26 Januari lalu masih diteruskan, namun bilangan anggota yang terbabit dikurangkan selepas tiada petunjuk baharu selain mengambil masa yang agak lama.

Sementara itu, Ketua Zon Satu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Arifin Kamar berkata antara cabaran yang terpaksa ditempuh oleh pasukan SAR sepanjang operasi ialah bentuk muka bumi yang berbukit bukau.

Anjing Unit Pengesan JBPM diberi mencium pakaian Valtteri bagi mengesan bersama polis, Pasukan Gerakan Am dan APM memperhebatkan operasi mencari pelancong warga Finland itu yang hilang di Kampung Paya, Pulau Tioman - Foto BERNAMA

HILANG DAHAGA … Anggota Unit Pengesan JBPM, Anthony Philip sempat membasah tekak dengan air sungai ketika operasi mencari Valtteri. - Foto BERNAMA
HILANG DAHAGA … Anggota Unit Pengesan JBPM, Anthony Philip sempat membasah tekak dengan air sungai ketika operasi mencari Valtteri. - Foto BERNAMA

“Operasi telah mencakupi kawasan seluas 10 kilometer persegi dari kawasan mangsa dilihat kali terakhir di Kampung Paya, termasuk kawasan hutan, bukit, pantai dan paya Kampung Tekek, sehingga kawasan sanktuari penyu.

“Ada satu ketika tiga ekor anjing pengesan yang digunakan dalam operasi ini berjaya mengesan bau mangsa di Kampung Bunut, namun kemudian ia hanya berpusing-pusing di kawasan yang sama,” katanya.

Valtteri tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu dan memasuki Pulau Tioman pada 21 Januari sebelum dilaporkan hilang sehari selepas itu.

Operasi pencarian telah dilakukan sejak 26 Januari lalu oleh seramai 68 anggota dan pegawai JBPM, polis, Pasukan Gerakan Am serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan dibantu tiga ekor anjing pengesan. – BERNAMA

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor menunjukkan gambar terakhir Valtteri yang dirakam CCTV. - Foto BERNAMA
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor menunjukkan gambar terakhir Valtteri yang dirakam CCTV. - Foto BERNAMA
Anggota Unit Pengesan JBPM membawa anjing ketika bersama-sama polis, Pasukan Gerakan Am dan APM memperhebatkan operasi mencari Valtteri yang hilang di Kampung Paya, Pulau Tioman, hari ini. - Foto BERNAMA

Berita Harian X