Khamis, 31 Januari 2019 | 6:09pm
KEADAAN bas dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Bulat, hari ini. - Foto ihsan bomba
KEADAAN bas dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Bulat, hari ini. - Foto ihsan bomba

Rentung di bawah bas

SARIKEI: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam keadaan menyayat hati akibat rentung selepas kenderaan yang ditungganginya bertembung dengan sebuah bas di Jalan Bulat, di sini, hari ini.

Kejadian jam 2.20 petang itu menyebabkan lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti kerana dokumen peribadinya turut terbakar, disahkan maut di lokasi kejadian selepas terperangkap di bawah bas .

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Awang Alfian Awang Bujang, berkata bas itu dipercayai dalam perjalanan dari Sibu menghala ke Sarikei manakala mangsa datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal berkenaan ditunggang laju selepas memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan dan bertembung dengan bas.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa tidak dapat mengawal motosikal untuk mengelak bas sebelum bertembung lalu terperosok di bawah kenderaan itu.

“Pemandu bas berusia 54 tahun selain seorang konduktor tiket dan empat penumpang bas itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan bas berkenaan hangus, namun pemandu, konduktor tiket serta penumpang sempat keluar menyelamatkan diri.

Tambah Awang Alfian, mayat dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dijalankan.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.49 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei dikejarkan ke lokasi.

“Bomba mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa kerana perlu memadamkan kebakaran bas terlebih dulu sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita Harian X