Rabu, 30 Januari 2019 | 1:15pm
ANGGOTA bomba bersama anjing pengesan K9 ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelancong Finland yang dilaporkan hilang ketika bercuti di Pulau Tioman. - Foto ihsan bomba
ANGGOTA bomba bersama anjing pengesan K9 ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelancong Finland yang dilaporkan hilang ketika bercuti di Pulau Tioman. - Foto ihsan bomba

Anjing kesan bau dipercayai pelancong hilang

KUANTAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelancong Finland yang dilaporkan hilang ketika bercuti di Pulau Tioman sejak 22 Januari lalu, menemui petunjuk baharu iaitu bau dipercayai lelaki berkenaan oleh anjing pengesan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Nor Hisham Mohamad, berkata tiga anjing pengesan K9 polis dan bomba mengesan bau itu di laluan dipercayai dilalui, Nikitin Aleksis Elis Valtteri, 20, namun sehingga kini masih belum menemui pelancong berkenaan.

Katanya, pasukan SAR sudah beberapa kali membuat pencarian di kawasan bau berkenaan dikesan anjing namun gagal menemuinya sehingga kini.

“Anggota pasukan mencari dan menyelamat pergi ke laluan dilaluinya dan kita percaya dia melalui laluan yang biasa digunakan orang lain.

“Petunjuk baharu sedang dicari dan polis difahamkan bertemu dengan orang-orang mempunyai kaitan dengan pelancong berkenaan bagi tujuan berkenaan.

“Kita berharap akan mendapat petunjuk baharu untuk melancarkan lagi operasi yang turut dilakukan di kawasan laut selain air terjun serta hutan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan Bagi 2019 Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarahnya, Mohd Sani Harul.

Nikitin Aleksis dilaporkan tiba di Pulau Tioman berseorangan pada 21 Januari lalu sebelum menumpang di sebuah rumah penduduk tempatan di Kampung Paya yang kemudiannya bertindak membuat laporan polis selepas mangsa tidak pulang.

Dia dipercayai pergi ke Air Terjun Kampung Asah, Mukut, di bahagian selatan Pulau Tioman secara berseorangan pada keesokan harinya sebelum dilaporkan tidak pulang.

Pencarian dilakukan di kawasan Kampung Genting, kawasan air terjun Motherwillow laluan ke Gunung Kajang iaitu kawasan di tengah pulau kira-kira tiga kilometer dari Kampung Paya.

Berita Harian X