Selasa, 29 Januari 2019 | 4:53pm

Pengetua mengaku tidak bersalah 4 pertuduhan amang seksual

BUTTERWORTH: Seorang pengetua sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya pada tahun lalu.

Tertuduh berusia 55 tahun meminta dibicarakan bagi keempat-empat pertuduhan itu pada dua prosiding di mahkamah berlainan.

Tertuduh didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, manakala dua lagi pertuduhan mengikut seksyen sama dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Berdasarkan kertas pertuduhan berasingan itu, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki berusia 11, 13 dan 14 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik khas pengetua dan asrama di sebuah sekolah di sini antara jam 4 petang hingga 11.40 malam antara 6 April hingga 10 Oktober tahun lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Selepas prosiding, tertuduh dilihat menangis serta terpaksa ditenangkan oleh isterinya.

Peguam tertuduh, E Gnasegaran memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin tertuduh berikutan anak guamnya memberi kerjasama penuh kepada polis dan mahkamah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM54,000 dengan dua penjamin.

Kes akan disebut semula pada 25 Februari depan sementara menunggu serahan dokumen dan pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah dan Kamaliza Md Zain.

SEORANG pengetua sekolah (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya pada tahun lalu. - Foto Danial Saad
Berita Harian X