Isnin, 28 Januari 2019 | 3:39pm
KETUA Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Alwi Abdul Hamid membuat pemeriksaan premis makanan yang dipercayai menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tanpa kebenaran di Kuantan. - Foto Shahrinnahar Latib

2 restoran pamer logo halal tanpa kebenaran

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri mengesan dua premis makanan di bandar ini menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tanpa kebenaran.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Alwi Abdul Hamid, berkata premis itu dikesan dalam pemeriksaan bersama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Jabatan Kesihatan negeri dalam operasi yang dilaksanakan sejak 11 Januari lalu.

Dalam operasi itu, beliau berkata, sebanyak 63 restoran di seluruh negeri ini diperiksa dan daripada jumlah itu dua restoran berkenaan didapati melakukan kesalahan berkenaan.

“Penggunaan sijil atau logo halal adalah untuk pemegang sijil halal yang dikeluarkan JAKIM sahaja. Menjadi satu kesalahan jika ada pihak yang menyalahgunakannya.

“Oleh itu, kita mengambil tindakan menyita logo halal dipamerkan di dua premis ini sejak beberapa tahun lalu, bagi mengelak pengguna keliru seolah-olah premis berkenaan mendapat pensijilan halal daripada JAKIM,” katanya dalam sidang media selepas operasi berkenaan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIP, Muhammad Asyraaf Ahmad Raffli.

Alwi berkata, kedua-dua pemilik restoran itu disiasat mengikut Perintah 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, iaitu menggunakan logo halal JAKIM tanpa kebenaran.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda sehingga RM250,000.

“Operasi ini juga dilakukan susulan kebimbangan pengguna berkenaan ada premis makanan mempamerkan logo halal serta ayat-ayat suci al-Quran yang mendatangkan kekeliruan umat Islam.

“Kita akan melaksanakan pemeriksaan dari semasa ke semasa kerana bertujuan melihat pematuhan terhadap perintah perihal dagangan dan penggunaan logo halal di kedai,” katanya.

Berita Harian X