Jumaat, 25 Januari 2019 | 8:37pm
MANGSA ditemui meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida selepas tertidur dalam kereta Kenari di tempat parkir tingkat 3 sebuah pusat beli di Kota Kinabalu, awal pagi tadi. - Foto Ihsan PDRM
MANGSA ditemui meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida selepas tertidur dalam kereta Kenari di tempat parkir tingkat 3 sebuah pusat beli di Kota Kinabalu, awal pagi tadi. - Foto Ihsan PDRM

Lelaki, wanita maut keracunan karbon monoksida dalam kenderaan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dan wanita ditemui maut akibat keracunan karbon monoksida selepas tertidur dalam kenderaan di tempat parkir tingkat 3, sebuah pusat beli-belah, di sini, awal pagi tadi.

Difahamkan, mangsa, Hanafi Marlin, 23, dan Marcella Nur Anis Ahmadi, 20, yang dipercayai bekas kekasihnya ditemui berada di tempat duduk hadapan PERODUA Kenari dalam keadaan tidak sedarkan diri, kira-kira jam 3 pagi.

KERETA Kenari di tempat parkir sebuah pusat beli di Kota Kinabalu. - Foto Ihsan PDRM
KERETA Kenari di tempat parkir sebuah pusat beli di Kota Kinabalu. - Foto Ihsan PDRM

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata polis menerima maklumat orang awam berhubung penemuan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di tempat parkir di sebuah pusat beli-belah.

“Seterusnya, polis membuat pemeriksaan dan menemui sepasang lelaki dan wanita tidak sedarkan diri di tempat duduk hadapan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Habibi berkata, siasatan polis mendapati kedua-dua mangsa tertidur namun tidak dapat dipastikan tarikh dan masa mereka berada di dalam kenderaan itu sehingga ditemui pagi ini.

“Pada jam 5.11 pagi, pegawai perubatan dari hospital mengesahkan kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia.

“Kedua-dua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Quen Elizabeth 1 (QEH1) dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah keracunan karbon monoksida,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Polis membuat pemeriksaan badan terhadap kedua-dua mangsa didapati tidak menunjukkan berlaku sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian mangsa,” katanya.

Habibi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengamalkan tabiat tidur dalam kenderaan dengan enjin yang tidak dimatikan atau kenderaan tidak bergerak bagi mengelak risiko.

Berita Harian X