Khamis, 24 Januari 2019 | 2:37pm
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh. - Foto Hazreen Mohamad
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh. - Foto Hazreen Mohamad

Isteri disambung reman, suami masih diburu

SEREMBAN: Wanita yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan sehingga menyebabkan seorang peniaga restoran mati ditikam di Taman Permai 3 di sini, pada Sabtu lalu, disambung reman dua hari lagi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, berkata polis membuat permohonan menyambung reman di mahkamah selepas tempoh reman selama empat hari sebelum ini tamat.

“Wanita tempatan berusia 38 tahun terbabit dibenarkan sambung reman bermula hari ini dan esok bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

“Polis juga sedang giat mengesan lelaki warga Pakistan dikenali Mohd Javaid Arshad Abdul Ghani berusia 54 tahun yang melarikan diri selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wanita itu yang juga peniaga kedai runcit ditahan pada hari kejadian dan siasatan lanjut membawa kepada penahanan suspek kedua iaitu lelaki warga Pakistan berusia 44 tahun di sebuah kilang di Taman Perindustrian Oakland, di sini, jam 8.50 malam Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi Sabtu lalu, mangsa D Shaleni, 31, parah ditikam di perut sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), 13 jam kemudian.

Sebelum kejadian, mangsa dan suaminya yang berusia 49 tahun serta rakan berusia 60 tahun meletakkan kereta di hadapan kedai runcit milik suspek untuk ke restoran mereka yang terletak berhampiran.

Sumber berkata, anak lelaki peniaga kedai runcit berusia 14 tahun bermain lampu laser dan terkena pada muka rakan pasangan itu menyebabkan mereka memarahi remaja itu.

Pasangan itu kemudian masuk ke kedai runcit sebelum berlaku pertengkaran dengan ibu remaja terbabit yang kemudian menghalau mereka keluar dari kedainya.

Suami mangsa dipercayai mengambil pisau pemotong sayur lalu mengacukannya kepada ibu remaja itu. Tindakannya menyebabkan suami wanita itu iaitu suspek yang masih diburu polis masuk campur dan berlaku pergelutan.

Berita Harian X