Rabu, 23 Januari 2019 | 3:07pm
Anggota polis membawa keluar Ng Bung On dari Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selepas dijatuhkan hukuman penjara setahun atas dakwaan menggores sebuah kereta di tempat letak kereta aras bawah, pusat beli belah Megalong, Penampang Februari tahun lalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Lelaki pekak, bisu dipenjara setahun kerana menggores kereta

KOTA KINABALU: Seorang lelaki pekak dan bisu dipenjara setahun selepas mengaku bersalah menggores sebuah kereta di tempat letak kereta aras bawah, pusat beli-belah Megalong, Penampang, Februari tahun lalu.

Ng Bung On, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Afiq Agoes dengan bantuan jurubahasa isyarat ketika prosiding kesnya diputuskan Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Afiq memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini. Tertuduh sebelum ini sudah didakwa dan mengaku bersalah, namun penghakimannya dibuat hari ini.

Ketika ditanya sebab tertuduh menggores kereta PROTON Waja milik seorang wanita, Lim Hui Kui @ Belinda, dia memberitahu mahkamah tindakannya didorong perasaan cemburu dan marah.

“Saya minta maaf, saya buat kesalahan,” kata Bung On menerusi perantaraan jurubahasa isyarat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Bung On didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.30 petang, 10 Februari tahun lalu dan menyebabkan kerugian RM2,000 kepada pemilik kenderaan.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berumur 54 tahun membuat laporan polis keretanya digores di keseluruhan badan kenderaan ketika diletakkan di tempat letak kereta aras bawah pusat beli-belah Megalong.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah itu, seorang lelaki tidak dikenali kelihatan melakukan perbuatan itu.

Bung On yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat hingga menyebabkan kerugian.

Berita Harian X