Selasa, 22 Januari 2019 | 10:04pm
LETUPAN mercun di atas jambatan persimpangan bertingkat Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berhampiran Kuil Sri Subramaniar mengakibatkan 34 individu cedera, malam tadi. - Foto Ihsan pembaca
LETUPAN mercun di atas jambatan persimpangan bertingkat Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berhampiran Kuil Sri Subramaniar mengakibatkan 34 individu cedera, malam tadi. - Foto Ihsan pembaca

Letupan mercun: 1 lagi ditahan bantu siasatan

GOMBAK: Seorang lagi individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden letupan mercun ketika sambutan Thaipusam berhampiran Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata suspek berumur 25 tahun itu ditahan di sekitar Batu Caves pada jam 3 pagi tadi.

“Penahanan lelaki itu menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan adalah tiga orang dan mereka direman selama empat hari sehingga Jumaat.

“Hasil semakan, seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan polis akan lakukan ujian saringan air kencing terhadap semua suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Samsor berkata, semua 34 individu yang cedera akibat terkena letupan mercun itu sudah dibenarkan pulang.

Awal pagi tadi, 34 warga tempatan dilaporkan cedera akibat terkena letupan mercun di atas jambatan bertingkat Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berdekatan kuil Batu Caves akibat perbuatan tidak bertanggungjawab seorang lelaki yang membakar mercun sempena sambutan Thaipusam tanpa kebenaran dan permit polis.

Sehubungan itu, polis menahan lelaki berumur 23 tahun yang juga seorang penari dan seorang rakannya berumur 28 tahun bagi membantu siasatan.

Insiden turut menyebabkan tiga kenderaan yang terdiri daripada Nissan Serena, Proton Exora dan Perodua Myvi rosak.

Berita Harian X