Selasa, 22 Januari 2019 | 8:04am

34 cedera akibat terkena mercun

GOMBAK: Seramai 34 warga tempatan cedera akibat terkena letupan mercun di atas jambatan bertingkat Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berdekatan kuil Batu Caves, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata pihaknya mendapati kejadian pada jam 8.40 malam berlaku susulan perbuatan tidak bertanggungjawab seorang lelaki yang membakar mercun sempena sambutan Thaipusam tanpa kebenaran dan permit polis.

Beliau berkata pihaknya menahan lelaki itu bersama rakannya masing-masing berusia 23 dan 28 tahun bagi membantu siasatan.

“Dua lelaki yang ditahan datang ke kuil terbabit bersama seorang lagi rakan bagi tujuan keagamaan. Kita masih usaha mengesan rakan itu.

“Mercun yang dibakar sepatutnya meletup di udara, namun ia meletup di kawasan jalan raya.

“Akibat kejadian itu, ia menyebabkan beberapa orang yang berada berhampiran kawasan berkenaan cedera.

“Enam daripada 34 warga tempatan yang cedera dikejarkan ke hospital berasingan iaitu Hospital Selayang, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh,” katanya pada sidang media di Pondok Polis Batu Caves, dekat sini, awal pagi ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kejadian itu turut menyebabkan kerosakan kepada kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena, MPV Proton Exora dan Perodua Myvi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai membabitkan bahan letupan,” katanya.

Berita Harian X