Isnin, 21 Januari 2019 | 2:42pm

Padah curi duit tabung masjid, lelaki dipenjara 9 bulan

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencuri duit tabung masjid sebanyak RM50.

Hukuman itu diputuskan Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh, Mohd Hafiz Ibrahim, 27, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri duit tabung sebanyak RM50 di Masjid Lama Kampung Sungai Rengas di sini, antara jam 3.37 petang hingga 3.52 petang pada 10 Januari lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad.

Mengikut fakta kes, kehadiran tertuduh yang mencurigakan disedari ahli jawatankuasa masjid sebelum mereka membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Hasil rakaman menunjukkan tertuduh masuk ke kawasan masjid dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z.

Tertuduh dilihat pergi ke tabung masjid yang berada di pintu masuk utama sebelum mengait duit di dalam tabung berkenaan beberapa kali dengan kerugian dianggarkan RM50.

Susulan laporan dibuat di Balai Polis Chabang Tiga, tertuduh ditahan di hadapan sebuah stesen minyak di Durian Burung, di sini, kira-kira jam 1 pagi pada 18 Januari lalu.

Berita Harian X