Ahad, 20 Januari 2019 | 12:17pm
KEADAAN kenderaan yang dipandu suspek selepas melanggar sebuah kereta di Jalan Persiaran Pusat Bandar, Bandar Baru Nilai. - Foto ihsan PDRM
KEADAAN kenderaan yang dipandu suspek selepas melanggar sebuah kereta di Jalan Persiaran Pusat Bandar, Bandar Baru Nilai. - Foto ihsan PDRM

Pemandu bawah pengaruh alkohol cuba langgar lari

NILAI: Polis menahan seorang pemandu berada bawah pengaruh alkohol yang cuba melarikan diri selepas melanggar sebuah kereta di Jalan Persiaran Pusat Bandar, Bandar Baru Nilai, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata dalam kejadian jam 11.15 malam berhampiran sebuah pasar raya itu, suspek lelaki berusia 36 tahun didakwa memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda secara melulu.

Beliau berkata, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat, kenderaan suspek merempuh bahagian belakang sebuah kereta Nissan Almera dipandu seorang lelaki berumur 40-an.

“Suspek kemudian melarikan diri sejauh lima kilometer hingga ke Pajam. Sepasukan anggota polis yang kebetulan berada di lokasi kejadian, mengejar suspek sebelum berjaya menahan lelaki itu,” katanya.

Mohd Nor Marzukee berkata, hasil ujian mendapati 250 miligram alkohol dalam darah lelaki berkenaan.

“Suspek yang tinggal di Taman Kepong, Kuala Lumpur, kemudian dijamin seorang ahli keluarganya dan akan dipanggil semula untuk pertuduhan di mahkamah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu Nissan Almera dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Berita Harian X