X
Khamis, 17 Januari 2019 | 10:23pm
Peguam Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. - Foto Zulfadhli Zulkifli
Peguam Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Tindakan Najib tangguh perbicaraan dibantah

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan SRC International Sdn Bhd membantah tindakan pembelaan yang dilihat cuba menangguhkan perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula bulan depan.

Perkara itu dibangkitkan oleh Ketua Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara, Manoj Kurup melalui surat kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bertarikh hari ini.

Menurutnya, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memohon penangguhan perbicaraan kes yang sepatutnya bermula 12 Februari depan.

“Ia berikutan pihak mereka ada memfailkan tiga permohonan rayuan interlokutori (permohonan sebelum perbicaraan penuh), iaitu berhubung surat perlantikan Datuk Sulaiman Abdullah, perintah larangan bagi menghalang media dan orang ramai membicarakan merit kes serta penzahiran dokumen.

“Kami difahamkan permohonan untuk menangguh itu didakwa perlu bagi membolehkan mereka membuat pembelaan terbaik. Oleh itu, kami membantah permohonan itu kerana ia remeh dan akan menyebabkan kelewatan tidak munasabah terhadap tarikh perbicaraan yang sudah ditetapkan,” katanya.

Manoj ,berkata pihaknya membantah perkara itu dan memohon mahkamah menolak permohonan itu atas alasan pihak pembelaan mempunyai masa yang banyak sejak tujuh bulan lalu (Sejak 4 Julai 2018) untuk menyediakan pembelaan.

Pada 4 Julai tahun lalu Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi membabitkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Bagi dua tuduhan pecah amanah jenayah, Najib didakwa selaku penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta Advisor Emeritus (Penasihat Emeritus) SRC International Sdn Bhd.

Dalam kapasiti itu, beliau yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM27 juta dan RM5 juta.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group dekat Jalan Raja Chulan di sini, di antara 24 Disember dan 29 Disember 2014.

Bagi kesalahan ketiga pula Najib didakwa melakukan jenayah sama, membabitkan wang berjumlah RM10 juta, di tempat sama, di antara 10 Februari dan 2 Mac 2015.

Bagi semua tuduhan itu, Najib didakwa mengikut Seksyen 409, Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi tuduhan rasuah pula, Najib dengan kedudukan sama, didakwa menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila mengambil bahagian atau terbabit dalam keputusan bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri Presint 1, Putrajaya di antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012 mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694).

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, maksimum 20 tahun penjara dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Berita Harian X