Selasa, 15 Januari 2019 | 6:27pm
AHMAD Abdul Kadir Ismail yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sheikh Ahmad Abdul Kadir Iskandar Zulkarnain di Sungai Rambai. - NSTP/Muhamamd Zuhairi Zuber

Lelaki dakwa 'ketua negara' ditahan

JASIN: Polis sudah menahan lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘ketua negara’ dan berpengaruh di beberapa negara di dunia.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata tangkapan ke atas suspek, Ahmad Abdul Kadir Ismail, 47, itu dilakukan sepasukan anggota di Kem Modal Insan Agrotourism, Parit Penghulu, Sungai Rambai, di sini, kira-kira jam 3 petang, Ahad lalu.

Beliau berkata, penahanan suspek yang turut mendakwa diri adalah pemilik sebenar Kerajaan Melayu dengan gelaran ‘Sultan Sheikh Ahmad Abdul Kadir Iskandar Zulkarnain’ susulan laporan dibuat oleh Ketua Balai Polis Sungai Rambai, SM Kamaridzaman Khanafee.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan jalan penyamaran.

“Selain itu, polis turut merampas pelbagai barangan di dua lokasi berasingan iaitu di Kem Modal Insan dan juga rumah suspek.

“Antaranya barangan, 10 keris pelbagai saiz, tombak (1), pedang pelbagai saiz (8), dulang tembaga (1) dan batu jade naga (1),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, suspek menganjurkan majlis di sebuah inap desa di Sungai Rambai yang dihadiri kira-kira 100 pengikut dengan turut menunjukkan keris dan pedang serta arca kaca yang didakwa sebagai alat kebesarannya.

Arshad berkata, siasatan awal mendapati pelbagai dokumen seperti resit bayaran ahli Pertubuhan ‘Sultan Sheikh Ahmad Abdul Kadir Iskandar Zulkarnain’ dikesan di dua premis berkenaan dan pertubuhan terbabit juga disahkan tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Setakat ini, kita sudah merakam keterangan 20 ahli pertubuhan itu dan ujian saringan air kencing yang dilakukan negatif.

“Siasatan juga mendapati, suspek mempunyai empat rekod jenayah lalu berkaitan kes penipuan, curi dalam bangunan dan gagal memberi keterangan di negeri Perak,”katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman empat hari sehingga Khamis ini mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Berita Harian X