Sabtu, 12 Januari 2019 | 8:34pm

Serah pihak berkuasa siasat individu dakwa pemilik kerajaan Melayu

MELAKA: Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan berhubung individu mendakwa diri adalah pemilik sebenar kerajaan Melayu dengan gelaran ‘Sultan Sheikh Ahmad Abdul Kadir Iskandar Zulkarnain’.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata perundangan sedia ada sudah memadai untuk menangani pelbagai ‘tuntutan’ dibuat individu ke atas negeri atau negara ini.

“Saya serahkan kepada pihak berkuasa mengenai perkara itu. Memanglah kita ada berdepan isu membabitkan mereka yang menuntut pelbagai kedudukan di negeri ini.

“Perundangan negeri seharusnya dihormati. Saya berpendapat bahawa undang-undang negeri sedia ada sudah memadai untuk mengatasi segala isu (tuntutan) ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sepetang Bersama Masyarakat Majmuk Melaka 2019, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor; Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil; serta EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew.

Beliau mengulas kejadian pada satu majlis di sebuah inap desa di Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin, pagi tadi, di mana lelaki bernama Ahmad Abdul Kadir Ismail, 47, mendakwa dirinya pemerintah sebenar negara ini.

“Saya sudah bergerak (menuntut hak) sejak 2013, malah pernah menyatakan hasrat untuk bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Sultan, namun tidak dilayan,” katanya.

Pada majlis dihadiri kira-kira 20 pengikutnya, lelaki berkenaan turut menunjukkan beberapa keris, pedang dan arca naga yang didakwa sebagai bukti alat kebesarannya.

Sebelum ini, beberapa individu pernah membuat pelbagai tuntutan ke atas Melaka, termasuk menggunakan aneka ‘gelaran rasmi’ dalam cubaan untuk mengelirukan masyarakat.

Sementara itu Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata siasatan akan dilakukan terhadap lelaki terbabit mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

“Tangkapan ke atasnya juga akan dilakukan sebaik sahaja keterangan diperoleh bawah Akta Hasutan.

“Saya sudah mengarahkan laporan polis dibuat berdasarkan maklumat diterima daripada sidang media dilakukan individu itu, pagi tadi, selain memanggil semua individu yang hadir pada majlis berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketika sidang media lelaki itu, terdapat unsur menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan menghasut rakyat melalui media supaya menyokong tuntutannya.

Ketua Menteri, Adly Zahari ketika ditemui pada Majlis Sepetang Bersama Masyarakat Majmuk Melaka 2019, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad
Berita Harian X