X
Jumaat, 11 Januari 2019 | 12:39pm
Keadaan suasana pilu di lokasi kemalangan di Batu 6, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu. - Foto Junaidi Ladjana
Keadaan suasana pilu di lokasi kemalangan di Batu 6, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu. - Foto Junaidi Ladjana

Wanita dukung anak ratapi suami maut nahas

KOTA KINABALU: Suasana di lokasi nahas bertukar pilu apabila seorang isteri mendukung anaknya sambil menangis di sisi mayat suami yang maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 6 Jalan Tuaran Bypass di sini, malam tadi.

Lebih memilukan, anak yang didukung itu turut menangis melihat mayat bapanya.

Difahamkan, wanita itu yang bergegas ke lokasi kemalangan sebaik mendapat tahu mengenai nahas terbabit, tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat jasad suaminya, Baharudin Madzukil, 33, yang berlumuran darah ditutupi dengan kain.

Wanita itu kemudian cuba ditenangkan oleh beberapa orang awam sebelum ibu mangsa yang tiba di lokasi kejadian turut menangis sebaik melihat keadaan mayat anaknya.

Difahamkan, ketika kemalangan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sepanggar.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata siasatan awal mendapati kejadian membabitkan Perodua Axia dan sebuah motosikal.

“Perodua Axia yang dipandu wanita berusia 57 tahun dari Tuaran itu sedang menuju ke Kota Kinabalu. Apabila tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba sebuah motosikal terlanggar bahagian tepi kanan kenderaan itu yang keluar simpang untuk membuat pusingan U.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Perodua Axia cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X