Selasa, 8 Januari 2019 | 1:31pm
Ketua Polis Daerah (KPD) Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan. - Foto Mohd Aidil Abdullah
Ketua Polis Daerah (KPD) Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan. - Foto Mohd Aidil Abdullah

Samun di simpang jalan

KUCHING: Ditendang sebelum disamun. Itu tindakan tidak berhati perut seorang lelaki ketika menyamun seorang wanita di persimpangan Jalan Kampung Maang, Padawan, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, mangsa yang berusia 50 tahun bersendirian ke rumahnya selepas pulang membeli barang keperluan di sebuah kedai di Pekan Tapah, dengan menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan, berkata setiba di lokasi kejadian, suspek yang turut menunggang motosikal menghampiri mangsa sebelum menendangnya.

“Tindakan suspek menyebabkan motosikal yang ditunggangi mangsa hilang kawalan sebelum terjatuh di bahu jalan.

“Kesempatan itu digunakan suspek untuk menyamun wang tunai RM200, cincin dan rantai emas selain melarikan beg mengandungi dokumen peribadi sebelum melarikan diri,” katanya.

Aidil berkata, mangsa kemudian bangkit dalam keadaan sakit sebelum bergegas membuat laporan polis di Balai Polis Tapah.

Katanya, polis kini giat memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Berita Harian X