Sabtu, 5 Januari 2019 | 8:19pm

Suami isteri lemas terjatuh bot

KANGAR: Pasangan suami isteri lemas selepas terjatuh ke laut ketika memasang pukat di perairan Kuala Perlis, dekat sini, pagi tadi.

Mayat Mohd Zaini Panjang Karim, 55, dan isterinya, Azizah Yatim, 49, berasal dari Kampung Bukit Tok Po, Kuala Perlis, ditemui pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), berkata pasangan itu ditemui pihak Maritim Malaysia dalam keadaan berpelukan dan tersangkut di pukat milik nelayan lain.

“Mengikut maklumat yang diterima, kedua-dua mangsa keluar ke laut kira-kira jam 6.30 pagi tadi bersama sebuah lagi bot yang dinaiki saudara mereka bagi memasang pukat.

“Bagaimanapun pada jam 11 pagi, hanya sebuah bot dinaiki saudara mangsa pulang, manakala bot dinaiki mangsa dikatakan tertinggal ke belakang.

“Saudara mangsa menunggu bot suami isteri itu selama dua jam untuk sampai ke jeti, sebelum mereka membuat laporan kepada Maritim Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, berikutan itu usaha mencari mangsa dilancarkan pihak berkuasa pada jam 1 tengah hari tadi sebelum mereka ditemui lemas di kawasan perairan Tukun 300, Kuala Perlis.

“Anggota Maritim Malaysia menemui mangsa dalam keadaan berpelukan sebelum dapat mengeluarkan mereka yang terbelit dalam pukat.

“Mayat kedua-dua mangsa dibawa menaiki bot peronda Maritim Malaysia dan tiba di Jeti Kuala Perlis kira-kira jam 5.30 petang tadi,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk proses bedah siasat dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Mayat sepasang suami isteri, Zaini Panjang Karim, 55, dan Azizah Yatim, 49, yang ditemui lemas selepas terjatuh dari bot yang dinaiki mereka ketika memukat ikan diperairan Kuala Perlis dibawa ke Jeti Kastam, Kuala Perlis oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. - Foto ihsan APM
Mayat sepasang suami isteri, Zaini Panjang Karim, 55, dan Azizah Yatim, 49, yang ditemui lemas selepas terjatuh dari bot yang dinaiki mereka ketika memukat ikan diperairan Kuala Perlis dibawa ke Jeti Kastam, Kuala Perlis oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. - Foto ihsan APM
Berita Harian X