Sabtu, 5 Januari 2019 | 4:18pm
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof. - Foto NSTP
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof. - Foto NSTP

Kontraktor, keluarga mangsa pukau

GOMBAK: Seorang kontraktor dan keluarganya dipercayai dipukau sebelum rumah mereka di Bandar Tasik Puteri, Rawang, di sini, dipecah masuk, semalam.

Mangsa, Mohd Shuhairi Ismail, 48, berkata dia menyedari kejadian itu sebaik melihat rumahnya dalam keadaan berselerak sebaik bangun daripada tidur kira-kira jam 7 pagi.

Katanya, dia pergi ke bahagian ruang tamu rumahnya di tingkat bawah dan mendapati beberapa barang hilang.

“Pemeriksaan mendapati beberapa barangan berharga seperti komputer riba, televisyen, kamera, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai hilang.

“Malah, saya turut menemui najis manusia di tempat letak kereta, dipercayai ditinggalkan oleh penjenayah berkenaan.

“Berdasarkan tempoh masa kejadian, saya percaya penjenayah masuk ke dalam rumah ini antara jam 3 hingga 4 pagi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Shuhairi berkata, dia mengesyaki penjenayah terbabit mengamalkan pukau menggunakan najis kerana pada malam kejadian dia dan ahli keluarganya tidak sedar langsung daripada tidur.

Keadaan rumah Mohd Shuhairi Ismail, 48, di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Gombak, yang berselerak selepas dipecah masuk, semalam.
Keadaan rumah Mohd Shuhairi Ismail, 48, di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Gombak, yang berselerak selepas dipecah masuk, semalam.

“Saya rasa penjenayah itu menggunakan ilmu pukau kerana kami sekeluarga tidak sedar langsung daripada tidur.

Selalunya, setiap hari kami bangun jam 4.30 pagi kerana anak bersekolah, namun kami tidak sedar langsung seolah-olah dipukau,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Rawang, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata siasatan dilakukan mendapati tiada kesan cap jari di lokasi kejadian kerana suspek dipercayai menggunakan sarung tangan.

“Ketika kejadian, mangsa bersama isteri dan tiga anaknya yang berusia antara empat hingga lapan tahun sedang tidur di dalam bilik. Berdasarkan keterangan mangsa, dia memaklumkan menyedari kunci mangga pada pagar besi hilang dan terdapat kesan umpilan pada pintu gelungsur.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti suspek terbabit mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Berita Harian X