X
Jumaat, 4 Januari 2019 | 4:38pm

Pekerja sub kontraktor didakwa ugut polis trafik

AMPANG: Seorang pekerja sub kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan mengugut untuk memukul dua anggota polis trafik, pada pagi sambutan tahun baharu.

Tertuduh B B Terrence Raj, 23, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Terrence didakwa menakutkan secara jenayah dua anggota polis iaitu Lans Koperal Khairul Amri Ghazali dan Asisten Superintendan R Mani Segaran di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya di sini, jam 2.45 pagi, pada 1 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene menawarkan jaminan RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Terrence Raj yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan menjaga ibu dan keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X