Rabu, 2 Januari 2019 | 1:56pm
AZIMAH (kiri) menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah mewah di Bandar Lahat Mines, Lahat pada sidang media di Pejabat Kastam Bahagian Penguatkuasaan Ipoh. - NSTP/Muhaizan Yahya

18.2 juta batang rokok seludup dirampas

IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas sebanyak 18.24 juta batang rokok sepanjang tahun lalu dengan nilai rampasan kira-kira RM1.33 juta dan nilai cukai sebanyak RM11.47 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM, Datuk Azimah Abd Hamid, berkata kejayaan itu membabitkan 162 kes tangkapan dan rampasan yang dibuat melalui beberapa operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perak.

Menurutnya, selain rampasan dan tangkapan kes rokok itu, turut berjaya dirampas sepanjang tahun lalu adalah minuman keras membabitkan 93 kes dengan 170,168 liter jumlah rampasan yang dianggarkan bernilai RM1.15 juta dengan nilai cukai sebanyak RM3.98 juta.

“Antara kes yang diselesaikan JKDM Perak itu adalah rampasan lima kontena minuman keras daripada empat kes yang meliputi 111,721 liter dianggarkan bernilai RM504,983 dan nilai cukai RM2.67 juta.

“Kesemua kejayaan ini adalah hasil kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat selain penguatkuasaan dan pemantauan berterusan yang dilakukan pihak kastam,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Perak Bahagian Penguatkuasaan di sini hari ini.

Azimah berkata, JKDM Perak turut berjaya mengesan ketirisan hasil melalui pengikraran yang tidak tepat membabitkan lapan kes tahun lalu.

“Beberapa kes membabitkan kesalahan kod tarif dalam Sistem Maklumat Kastam (SMK) berjaya dikenalpasti dengan sejumlah besar komoditi yang ditahan adalah mengikut kesalahan pengikraran tidak tepat dalam borang kastam.

“Jumlah cukai yang terbabit dalam kes ini adalah RM2.51 juta dan lapan kertas siasatan dibuka membabitkan RM1.89 juta duti import dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) manakala RM622,750 adalah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya.

Menurutnya, JKDM merakamkan ucapan terima kasih kepada pemberi maklumat khususnya orang awam yang membantu pihaknya menyelesaikan banyak kes sekali gus memberi kesan positif terhadap usaha jabatan itu membanteras aktiviti penyeludupan.

“Orang ramai diminta terus beri kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan seperti kenderaan tanpa permit, senjata api, rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi talian bebas tol JKDM 1-300-888-500 dan 05-5272010 bagi JKDM Perak.

“Jabatan memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan dan ganjaran turut diberikan,” katanya.

Berita Harian X