Sabtu, 29 Disember 2018 | 1:39pm

8 ditahan kerana samsu haram

HULU SELANGOR: Polis menahan lapan lelaki dan merampas 142 botol samsu haram termasuk pelbagai peralatan memproses bahan itu dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kaloi 5D, Taman Desa Kaloi, Ulu Yam Bharu di sini, malam tadi.

Semasa serbuan dijalankan kira-kira jam 11.30 malam, kesemua suspek ketika itu sedang mengangkat kotak-kotak berisi samsu haram dan botol kosong ke dalam sebuah lori yang diparkir di halaman rumah terbabit.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata selain 142 botol samsu haram pelbagai jenama, polis turut merampas dua tong drum dan satu tong plastik dipercayai mengandungi cecair samsu haram.

“Kita juga merampas 457 kotak dan 237 kotak berisi botol-botol kosong, masing-masing dalam dua buah lori yang dipercayai milik sindiket berkenaan.

“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 21 hingga 38 tahun dan mereka kini direman bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung modus operandi sindiket itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Membaharui Undang - Undang (Samsu Gelap) 1976.

Berita Harian X