Khamis, 27 Disember 2018 | 6:50pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Dipenjara 6 bulan curi wang tabung masjid

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mencuri duit tabung masjid bernilai RM62.

Hukuman itu diputuskan Penolong Kanan Pendaftar Noradila Ab Latif selepas tertuduh, Muhammad Afizawani Matang, 43, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri duit tabung sebanyak RM62 di Masjid Gelugor Haji Tahir, Gelugor Kedai, di sini, jam 2.45 petang pada 21 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tiga lelaki berada di bilik kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan untuk melihat rakaman CCTV, namun mereka melihat tertuduh masuk ke dalam masjid dalam keadaan mencurigakan.

Mereka kemudian membuat pemeriksaan di ruang hadapan masjid dan mendapati tertuduh sedang mengait duit tabung masjid menggunakan sebatang besi dan beberapa keping wang kertas yang ada.

Seorang daripada mereka memaklumkan kejadian itu kepada ahli jawatankuasa masjid sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X