Isnin, 24 Disember 2018 | 5:39pm
Fairul Rizuan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu hari ini kerana melakukan pecah rumah dan kedai sebelum mencuri peralatan katering dan pendingin hawa. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Fairul Rizuan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu hari ini kerana melakukan pecah rumah dan kedai sebelum mencuri peralatan katering dan pendingin hawa. - NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Dipenjara kerana pecah rumah, kedai

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana melakukan pecah rumah dan kedai sebelum mencuri peralatan katering dan pendingin hawa.

Penolong Kanan Pendaftar, Noradila Ab Latif membuat keputusan itu selepas tertuduh, Fairul Rizuan Abdullah, 35, mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memecah masuk sebuah kedai dan mencuri enam pendingin hawa milik Azeman Chik @ Musa, 49, di sebuah kedai penghawa dingin di Jalan Gong Badak, Kuala Nerus, jam 12 tengah hari, pada 21 September lalu.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan sama dengan memecah masuk sebuah rumah dan mencuri 20 set buffet, lima tong gas, tiga periuk nasi, periuk pengukus, pinggan mangkuk, mesin rumput dan barangan katering milik Faieza Hazimee Mohd, 38, di sebuah rumah di Kampung Gong Badak, Kuala Nerus, jam 1.15 petang, pada 13 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan yang dilakukan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Sebaik pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Noradila menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X