X
Ahad, 23 Disember 2018 | 3:23pm
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye ketika ditemui pada Majlis Makan Tengahari bersama Majlis Jawatankuasa Sekolah Cina Perak di Ipoh, hari ini. - Foto L Manimaran
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye ketika ditemui pada Majlis Makan Tengahari bersama Majlis Jawatankuasa Sekolah Cina Perak di Ipoh, hari ini. - Foto L Manimaran

Bantu kami kuat kuasa peraturan - Dr Boon Chye

IPOH: Orang ramai perlu menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ Kementerian Kesihatan dalam memastikan penguatkuasaan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan bermula 1 Januari ini dapat dikuat kuasa dengan sebaiknya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata langkah yang boleh dilakukan orang awam termasuk membuat aduan secara terus kepada kementerian melalui talian hotline 03-8892 4530.

“Apa yang paling penting semasa penguatkuasaan peraturan ini dijalankan, ia bukan saja membabitkan pihak kementerian tetapi kerjasama orang ramai untuk sama-sama membantu kita.

“Tujuan kerajaan memperluaskan kawasan larangan merokok bukan hanya untuk mengurangkan jumlah perokok tetapi juga untuk melindungi hak mereka yang tidak merokok supaya tidak terdedah kepada asap rokok, sekali gus dapat menjaga kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Makan Tengahari bersama Majlis Jawatankuasa Sekolah Cina Perak di sini, hari ini.

Dr Boon Chye berkata, meskipun kementerian hanya akan melakukan penguatkuasaan berbentuk nasihat dan peringatan terlebih dulu kepada perokok yang masih degil dengan arahan itu untuk tempoh enam bulan pertama bermula 1 Januari depan, ia tidak bermakna larangan itu boleh diambil mudah.

Ditanya sama ada jumlah penguatkuasa Kementerian Kesihatan seramai 5,000 orang ketika ini mencukupi untuk melaksanakannya, Dr Boon Chye berkata pihaknya akan mengatur dan menyusun tugas pegawai penguatkuasa kementerian di seluruh negara dan selepas tempoh enam bulan ia dilaksanakan, tindakan akan dilakukan mengikut rondaan dan aduan yang dibuat orang ramai.

“Kita akan aturkan (pegawai penguatkuasa) di seluruh negara. Memang pada bulan Januari, dalam tempoh enam bulan, kita perlu tambah usaha untuk pertingkatkan penguatkuasaan.

“Tapi tindakan penguatkuasaan untuk tempoh enam bulan ini lebih kepada pendidikan kepada mereka, sama ada pengusaha restoran atau perokok, sebab kita nak beritahu kepada mereka bahawa peraturan itu sudah dilaksanakan dan dikuatkuasa serta mereka perlu patuh.

“Jadi seterusnya selepas enam bulan, rondaan berkala akan dibuat di semua tempat, orang ramai boleh terus telefon kepada hotline kementerian untuk buat aduan sekiranya ada ketidakpatuhan terhadap peraturan,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada pengusaha restoran dan premis makanan boleh menyediakan kawasan khas merokok di premis mereka, Dr Boon Chye berkata, pengusaha restoran dan premis makanan boleh melakukannya tetapi ia mesti dibina di kawasan luar restoran yang jaraknya adalah tiga meter dari bangunan.

“Ia mesti pada jarak tiga meter dari tempat makan dan premis, maknanya kalau (pengusaha) hendak sedia tempat dalam restoran pun (ia) tidak dibenarkan dan jika ia pada jarak tiga meter dari premis, pihak kementerian tidak ada kuasa untuk ambil tindakan,” katanya

Berita Harian X