Khamis, 20 Disember 2018 | 1:01pm

Pemanggil ancaman bom didakwa

TAMPIN: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin pada minggu lalu.

Mohd Yusnaidi Mohd Yunus, 34, OKU lembam didakwa atas tuduhan berkenaan selepas tempoh reman selama enam hari tamat.

“Betul, betul,” reaksi Mohd Yusnaidi ketika mendengar pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya di mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menakutkan dengan cara menyembunyikan namanya dan membuat panggilan kepada Nor Zuzainni Jamaluddin, 38, di Hospital Tampin.

Perbuatan terbabit dilakukan pada jam 5.50 pagi, 14 Disember lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fuad Ramlan yang mengendalikan kes itu turut mengemukakan laporan perubatan pesakit psikiatri dari Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dan meminta mahkamah merujuk tertuduh ke hospital bagi mendapatkan laporan perubatan.

Majistret Tan Chai Wei kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemerhatian mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan menetapkan 24 Januari depan untuk laporan perubatan.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, seramai 120 pesakit dan 50 kakitangan Hospital Tampin, cemas apabila mereka menerima panggilan bom palsu daripada lelaki yang tidak dikenali.

Sepasukan anggota dari IPD Tampin, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Pengesan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang ke lokasi melakukan pemeriksaan tidak menemui sebarang objek mencurigakan.

Susulan kejadian itu, polis berjaya mengesan suspek dan menahannya di sebuah rumah di Taman Dato Lela Maharaja, Chembong, Rembau, pada jam 10.45 malam hari sama.

Mohd Yusnaidi Mohd Yunus, 34, diiringi anggota polis ketika hadir di Mahkamah Majistret Tampin atas tuduhan membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin pada minggu lalu. - Foto Hasriyasyah Sabudin
Mohd Yusnaidi Mohd Yunus, 34, diiringi anggota polis ketika hadir di Mahkamah Majistret Tampin atas tuduhan membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin pada minggu lalu. - Foto Hasriyasyah Sabudin
Berita Harian X