Isnin, 17 Disember 2018 | 7:50pm
SEORANG lelaki warga Australia yang terkandas di perairan Kudat selepas kapal layar dinaikinya mengalami kerosakan enjin berjaya diselamatkan, hari ini. - Foto ihsan Maritim Malaysia

Warga Australia diselamatkan akibat kapal layar rosak di perairan Kudat

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Australia yang terkandas di perairan Kudat selepas kapal layar dinaikinya mengalami kerosakan enjin berjaya diselamatkan, hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Gary John, 69, dilaporkan sedang dalam perjalanan dari Kudat menuju ke Pulau Cebu, Filipina.

Pengarah Zon Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, bertindak atas laporan orang awam, kapal layar ‘BRAVE HEART 2’ milik mangsa dilaporkan terkandas di kedudukan 10 Batu Nautika Timur Laut Kudat.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, sebuah bot ronda dikerah ke lokasi dilaporkan sebelum mangsa ditemui dalam keadaan selamat kira-kira jam 11.00 pagi tadi.

“Bot mangsa kemudiannya ditunda dengan bantuan sebuah bot nelayan tempatan sebelum tiba di Jeti Marina Kudat pada jam 1.30 tengah hari tadi.

“Pihak Maritim Malaysia sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi memberi sebarang respons dan bantuan sekiranya berlaku kejadian sebegini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Chin Chau mengingatkan komuniti maritim supaya mengutamakan keselamatan dengan memastikan bot dan peralatan keselamatan dalam keadaan baik sebelum melaksanakan sebarang aktiviti di laut.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi Malaysia Emergency Respond System (MERS 999) atau Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858 jika mempunyai sebarang maklumat berhubung jenayah atau kejadian yang berlaku di perairan negara.

Berita Harian X