Jumaat, 14 Disember 2018 | 7:32pm

Berang ditegur, adik kelar abang

KEPALA BATAS: Berang ditegur abang kandungnya, seorang lelaki bertindak mengelar leher saudaranya itu dalam satu kejadian di sebuah bengkel besi di Bertam Perdana, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.42 tengah hari itu, mangsa yang berusia 36 tahun cedera dikelar adik lelakinya berusia 23 tahun, berpunca daripada tindakan abangnya yang menegur supaya menyiapkan kerja tempahan besi pagar pelanggan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata sebelum kejadian saksi mendakwa mangsa menegur suspek untuk mengimpal dan membersih besi yang akan digunakan untuk membuat pagar yang ditempah pelanggan.

“Suspek berang dengan teguran yang dibuat abangnya sebelum dia bertindak mengambil sebilah pisau di rak kasut dan memeluk abangnya dari belakang sebelum mengelar leher mangsa.

“Mangsa cedera di bahagian depan leher sebelum dibantu beberapa saksi yang berada di tempat kejadian ,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku di hadapan bengkel yang juga rumah mangsa, selain suspek dipercayai sudah dua tahun bekerja bersama abangnya.

Katanya, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Bertam dan menerima tujuh jahitan.

Beliau berkata, polis merampas pisau dapur kecil yang digunakan dalam kejadian itu dan suspek diberkas untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pihaknya akan mendapatkan perintah remaN di Mahkamah Butterworth esok.

Berita Harian X