Selasa, 11 Disember 2018 | 12:43pm
NAJIB dan Arul Kanda bakal menghadapi pertuduhan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, esok.
NAJIB dan Arul Kanda bakal menghadapi pertuduhan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, esok.

Najib, Arul Kanda akan didakwa esok - SPRM

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy bakal menghadapi pertuduhan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, esok.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, proses itu dilaksanakan selepas pihaknya mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Namun begitu, SPRM memaklumkan bacaan pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Sesyen untuk kedua-dua individu itu dilakukan secara berasingan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, jam 8 pagi esok.

“SPRM sebelum itu menahan Najib pada Isnin lalu, (10 Disember) bagi melengkapkan proses akhir siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM pada hari sama.

“Arul Kanda pula ditahan pada jam 10.32 pagi hari ini ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi tujuan sama,” kata kenyataan itu.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Berita Harian X