Selasa, 11 Disember 2018 | 12:12pm

Warga emas didakwa lakukan amang seksual

MELAKA: Lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan, dalam kejadian Mac lalu.

Tertuduh Wahit Ramli, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak dengan cara memasukkan jari bagi maksud seksual ke dalam kemaluan mangsa yang ketika itu berumur 6 tahun 10 bulan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di luar sebuah rumah di Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, di sini, antara jam 10 hingga 11 pagi, pada 4 Mac 2018.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi memohon kepada mahkamah supaya tiada jaminan diberikan kepada tertuduh kerana khuatir jika dia akan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

“Ini adalah kesalahan serius dan pihak pendakwaan khuatir mangsa dan saksi pendakwaan akan diganggu kacau selain dia kenalan kepada keluarga kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam M Pusppa merayu kepada mahkamah supaya jaminan yang rendah dibenarkan dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai pemandu lori sambilan selain mempunyai lima anak serta isterinya tidak bekerja.

Katanya, tertuduh juga mempunyai asma selain sehingga kini tiada sebarang laporan polis dibuat keluarga mangsa mengatakan mereka dikacau ganggu.

Selepas mendengar hujah kedua-kedua pihak mahkamah kemudian memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X