Rabu, 28 November 2018 | 2:27pm
ALLAUDEEN (tengah) melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM158,426 membabitkan 1,098 kertas siasatan bagi tempoh 16 tahun sejak 2002, di Lapang Sasar Lembah Bidong. - NSTP/Ghazali Kori

Polis Terengganu lupus dadah RM158,426

SETIU: Polis Terengganu melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM158,426 membabitkan 1,098 kertas siasatan bagi tempoh 16 tahun sejak 2002, di Lapang Sasar Lembah Bidong, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata pelupusan siri kedua yang dijalankan itu membabitkan dadah antaranya heroin, pil kuda, ganja, erimin 5, daun ketum, air ketum dan ubat batuk.

“Daripada jumlah itu, dadah yang paling banyak dilupuskan adalah pil kuda seberat 836.7 gram, ketum (521.47 gram) dan heroin (445.269 gram).

“Polis sudah melantik tiga panel untuk menilai, mengenal pasti dan mengesahkan barangan ini wajar dilupuskan. Pada masa sama ia dapat melapangkan stor bagi memudahkan kerja penyimpanan barang-barang kes lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Pelupusan Barang Kes Narkotik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), di sini, hari ini.

Allaudeen berkata, seramai 8,625 orang ditangkap di seluruh negeri membabitkan 7,019 kes berkaitan dadah sejak Januari lalu hingga 21 November tahun ini berbanding 9,546 tangkapan dengan 8,011 kes tahun sebelumnya.

Katanya, polis Terengganu melalui JSJN akan memperhebatkan usaha membanteras penyalahgunaan dadah secara menyeluruh dengan mengambil tindakan berterusan, sama ada dalam kalangan penagih mahu pun pembekal.

“Terengganu disenaraikan antara negeri tertinggi penyalahgunaan dadah dan bagi menangani ancaman itu matlamat kita tertumpu kepada pembekal dadah selain mengambil tindakan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK),” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan Terengganu, Pahang, Kelantan, dan Perlis mendahului senarai penagih dadah paling ramai mengikut nisbah jumlah penduduk berdasarkan kajian dikeluarkan setakat September lalu.

Beliau berkata, Pahang merekodkan seramai 16,150 penagih dadah diikuti Kelantan (16,918), Terengganu (10,576) dan Perlis (2,123).

Berita Harian X