Sabtu, 24 November 2018 | 6:56pm

Kes dera dua bayi: Polis cekup pengasuh

KUALA LUMPUR: Wanita yang dicari berhubung kes dera membabitkan dua bayi lelaki, masing-masing berusia lima dan tujuh bulan ketika dalam jagaan sebuah taska di Taman Desa Saujana, Kajang, semalam berjaya ditahan, petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata wanita yang berusia 31 tahun dan berasal dari Bandar Baru Bangi dekat sini, ditahan pada jam 5.45 petang di Kapar, Klang.

“Suspek bekerja sebagai pengasuh di taska berkenaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bersabit kes penderaan dua bayi berkenaan yang dilaporkan berlaku semalam itu,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Malam tadi, Fadzil memaklumkan pihaknya mengesan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu selepas sepasang suami isteri membuat laporan polis selepas mengesyaki anak mereka didera.

Kejadian itu disedari apabila selepas bayi pasangan itu yang berusia lima bulan muntah selepas diambil dari taska berkenaan pada jam 4.30 petang, semalam.

Bayi itu kemudian dibawa untuk rawatan di Hospital Putrajaya dan doktor yang merawat menemui kesan lebam pada bahagian dada selain kesan jalur lebih kurang satu sentimeter disyaki kesan kuku jari.

“Pada hari sama, satu lagi pasangan suami isteri juga menemui kesan lebam pada leher bayi mereka berusia tujuh bulan yang turut dijaga di taska sama.

“Mereka yang mengesyaki bayi mereka didera kemudian membawa bayi mereka ke Hospital Putrajaya untuk rawatan,” kata Fadzil.

Menurutnya, pasangan suami isteri itu kemudian meminta pemilik taska memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska terbabit dan mendapati salah seorang pengasuh di situ dilihat menghempas dan menggoncang salah seorang bayi.

Penahanan wanita terbabit dipercayai dapat membantu polis menyelesaikan siasatan berhubung kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Berita Harian X