Isnin, 19 November 2018 | 5:32pm

SPRM buka semula kes pembelian Scorpene

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan kes pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia bernilai RM4.67 bilion.

Sumber berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke ibu pejabat SPRM di sini, hari ini bagi memberi keterangan berhubung kes itu.

Menurutnya, beberapa lagi individu lain dijangka turut dipanggil bagi membantu siasatan termasuk bekas penasihat Najib, Abdul Razak Baginda yang dikatakan terbabit dalam urusan niaga pembelian kapal selam itu.

Terdahulu, Najib hadir ke ibu pejabat SPRM dan memberi keterangan selama hampir empat jam. Kenderaan membawa beliau tiba pada jam 9.23 pagi dan dilihat meninggalkan perkarangan bangunan SPRM pada jam 1.15 tengah hari.

Pembelian dua kapal selam Perancis itu dilakukan pada 2002 ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan.

Najib menyelia pembelian dua kapal selam jenis Scorpene dan satu kapal selam jenis Agosta daripada unit limbungan tentera laut Perancis, DCN, bernilai hampir STG1 bilion (AS$1.17 bilion).

Kapal selam itu yang dinamakan KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak itu, masing-masing tiba di Malaysia pada September 2009 dan Julai 2010, dan kedua-duanya dilaporkan terbabit dalam pelbagai rutin di dasar laut.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, memberitahu Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche, memaklumkan bahawa Badan Kehakiman Perancis melakukan siasatan terhadap dakwaan skandal pembelian kapal selam itu.

Pembelian kapal selam Scorpene adalah antara kes berprofil tinggi yang mahu disiasat pentadbiran Pakatan Harapan selepas mengambil alih kerajaan, Mei lalu.

Pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 turut didakwa ada kaitan dengan skandal pembelian kapal selam berkenaan.

Berita Harian X