Selasa, 13 November 2018 | 7:15pm

DoJ akan pulangkan AS$4.5 bilion dana 1MDB - Dr Mahathir

SINGAPURA: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) akan mengembalikan wang yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ia membabitkan jumlah kira-kira AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion), merangkumi wang yang diperoleh bank pelaburan Amerika Syarikat (AS), Goldman Sachs menerusi penerbitan bon.

“Pemulangan wang ini akan mengambil sedikit masa kerana ia perlu melalui beberapa proses tertentu.

“Mereka (DoJ) bukan sekadar mengambil duit itu dan serahkan di kaunter kepada kamu. Tetapi mereka sudah berjanji untuk kembalikan wang itu,” katanya.

Dalam satu temubual bersama CNBC International semalam, Dr Mahathir berkata Goldman Sachs menipu Malaysia dalam urusannya dengan 1MDB.

DoJ sebelum ini dilaporkan berkata, kira-kira AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) sudah diseleweng daripada 1MDB, termasuk sebahagiannya yang diperoleh Goldman Sachs antara 2009 hingga 2014.

Perdana Menteri berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau yakin untuk mendapatkan semula keseluruhan wang yang diseleweng itu, Dr Mahathir berkata: "Kami harap begitu tetapi kebanyakan daripada wang itu mungkin sudah hilang."

Mengenai sama ada Malaysia akan mengambil tindakan lanjut terhadap Goldman Sachs, Perdana Menteri berkata segala keputusan dan tindakan akan dilakukan berlandaskan kedaulatan undang-undang.

"Jika undang-undang mengatakan seseorang itu melakukan jenayah, maka individu itu perlulah dihukum sewajarnya.

"Tidak kiralah sama ada Goldman Sachs atau sesiapa saja. Jika ada bukti mencukupi bahawa mereka melanggar undang-undang, kita akan mengambil tindakan. Ia bukan soal balas dendam," katanya.

Dalam isu berbeza, Dr Mahathir yang ditanya mengenai nasib yang menimpa etnik Rohingya di Myanmar berkata, Malaysia kecewa apabila seorang pemimpin sebuah negara yang pernah ditahan sebelum ini, sanggup membuatkan orang lain sengsara.

"Nampaknya, Aung San Suu Kyi masih cuba mempertahankan sesuatu yang tidak boleh dipertahankan. Mereka menindas etnik ini sehingga ke tahap membunuh dan menguburkan mereka beramai-ramai.

"Ini mungkin perbuatan yang dilakukan dulu kala, tetapi pada zaman moden ini kita tidak seharusnya melakukan perkara ini lagi," katanya.

Ditanya apakah yang boleh dilakukan ASEAN bagi membantu Rohingya, Dr Mahathir berkata, kumpulan itu mahu melihat masalah berkenaan diselesaikan dan komuniti tertindas berkenaan dihantar pulang ke Myanmar.

"Mereka perlu dilayan sebagai warganegara. Ketika Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, kami memiliki ramai orang yang berasal dari negara asing.

"Kami menerima semuanya dan mereka kini sebahagian daripada rakyat Malaysia. Mereka memainkan peranan dalam politik negara dan mereka bebas. Mereka tidak ditahan kerana bangsa atau seumpamanya," katanya.

Berita Harian X