Rabu, 7 November 2018 | 1:00pm
- Foto hiasan

Macau Scam: Doktor pelatih, suri rumah diperdaya

KUANTAN: Akibat terlalu takut kerana didakwa terbabit dalam kes penggubahan wang haram berjumlah RM1 juta, seorang doktor pelatih di sini sanggup menyerahkan nama dan kata laluan perbankan internet miliknya menyebabkannya kerugian RM12,400.

Kejadian berlaku pada 26 Oktober lalu apabila lelaki berusia 28 tahun itu menerima panggilan daripada individu mendakwa sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek mendakwa mangsa ada bekerjasama dengan seorang penjenayah bernama Tan Wai Ping dalam kes penggubahan wang haram sebanyak RM1 juta.

“Mangsa menafikan perkara itu kerana dia langsung tidak mengenali lelaki itu sebelum talian disambungkan kepada pegawai polis dikenali, Inspektor Wong dan Inspektor Kamarul.

“Dalam panggilan itu, mangsa dimaklumkan dia juga turut terbabit dengan kes dadah, talian kemudiannya disambungkan kepada Encik Lim kononnya juruaudit AMLA dan meminta mangsa membuat pindahan wang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian memindahkan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM) ke dalam akaun yang diberikan sebanyak RM9,900 sebelum dia memberikan nama dan kata laluan perbankan internet miliknya kepada Encik Lim.

“Suspek kemudian memindahkan wang sebanyak RM2,500 ke dalam akaun yang sama dan memberitahu wang berkenaan dipindahkan ke Bank Negara untuk pembersihan dana.

“Hanya selepas itu mangsa sedar dia sudah ditipu sindiket berkenaan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin,” katanya.

Dalam kes berasingan, seorang suri rumah di Triang, Bera terpaksa menanggung kerugian RM16,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam menyamar sebagai pegawai polis yang turut mendakwanya terbabit dengan kes pengubahan wang haram serta dadah.

Mohd Wazir berkata, kejadian berlaku pada 1 November lalu apabila mangsa berusia 61 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki bernama Kamal Ali kononnya dari Public Bank Kuala Lumpur yang mendakwa mempunyai pinjaman RM70,000 dan tunggakan selama tiga bulan berjumlah RM3,885.

“Suspek meminta mangsa membuat laporan kecemasan di IPD Seremban dan disambungkan dengan Sarjan Junaidi yang mendakwa wanita itu turut terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan dadah:

“Panggilan kemudiannya disambungkan kepada Inspektor Kamarul yang meminta mangsa memindahkan semua wang dalam akaunnya. Wanita itu membuat pindahan wang berjumlah RM16,000 ke dalam akaun diberikan suspek,” katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya menceritakan perkara itu kepada ahli keluarganya dan dibawa ke IPD Bera untuk membuat laporan.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Berita Harian X