Selasa, 6 November 2018 | 10:23pm
LELAKI warga Myanmar ditahan selepas menyerang anggota DBKL. - Foto IHSAN PEMBACA

4 penguat kuasa DBKL cedera diserang

KUALA LUMPUR: Berang apabila barang jualan disita, seorang lelaki Myanmar bertindak menyerang anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penyembur lada di Pasar Borong Selayang, di sini, semalam.

Tindakan lelaki berusia 32 tahun itu menyebabkan empat anggota penguat kuasa DBKL yang sedang mencatatkan barang sitaan cedera di mata akibat diserang dengan penyembur lada.

Pengarah Penguat Kuasa DBKL Azman Mahmood, berkata ketika pihaknya melakukan pemeriksaan kira-kira jam 11 pagi semalam, terdapat sekumpulan peniaga warga asing menjual sayuran di luar pasar borong berkenaan.

“Ketika pegawai dan anggota penguat kuasa membuat sitaan terhadap barang jualan peniaga terbabit yang berniaga tanpa lesen, beberapa peniaga warga Myanmar terbabit membuat provokasi dengan melemparkan kata-kata kesat.

“Malah, mereka (peniaga warga Myanmar) turut mengambil gambar petugas DBKL sebelum diarahkan untuk memadam gambar berkenaan. Ketika itu, berlaku pertengkaran akibat provokasi, namun situasi berjaya dikawal,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Azman berkata, ketika empat anggota penguat kuasa itu sedang menulis barang sitaan pada kabin penguat kuasa di pasar borong berkenaan, mereka dihampiri lelaki terbabit yang menyerang menggunakan penyembur lada.

“Berlaku pergelutan di antara mereka, namun lelaki itu berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jinjang untuk tindakan lanjut. Kejadian itu menyebabkan keempat-empat anggota penguat kuasa DBKL yang cedera di mata dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan kira-kira jam 6 petang.

“Dalam pemeriksaan sama, DBKL menyita lebih 20 kenderaan digunakan peniaga warga Myanmar yang digunakan untuk berniaga di luar pasar borong berkenaan.

“Semakan mendapati lima daripada kenderaan yang dirampas itu disyaki kenderaan curi. Kami turut merampas sayur-sayuran yang dijual warga asing berkenaan yang didapati berniaga tanpa lesen.

“Difahamkan mereka mendapat bekalan sayuran daripada pembekal dari Cameron Highlands, Pahang. Mereka didapati kerap menjalankan perniagaan menjual sayur di pasar borong terbabit meskipun tanpa lesen,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan secara berkala bagi memantau kegiatan warga asing yang cuba memanipulasi perniagaan dengan beroperasi tanpa lesen di pasar borong berkenaan.

“Dalam usaha memastikan warga asing tidak ‘bermaharajalela’ di kawasan ini, kami akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan berkala supaya kegiatan itu dapat dibanteras,” katanya.

Berita Harian X