Ahad, 4 November 2018 | 6:54pm
GAMBAR fail, Jabatan Perhutan Negeri mengadakan operasi dan merampas sebuah jentera berat eskevator dan kayu balak bernilai RM120,000 di Hutan Simpan Sekayu, Hulu Terengganu. - Foto ihsan Jabatan Hutan Negeri

Pencuri balak makin ganas

DUNGUN: Empat kakitangan Jabatan Perhutanan Terengganu yang mahu membawa keluar jengkaut yang disita, berdepan detik cemas selepas dihalang ahli kumpulan pembalakan haram yang bersenjatakan parang dalam kejadian di Hutan Santong, Paka, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.05 petang itu, ahli kumpulan berkenaan turut membuat kacau dengan membaling guni yang dibakar ke arah jengkaut dipercayai bagi menghalang mereka membawa keluar jentera itu dari hutan berkenaan.

Empat kakitangan terbabit masuk ke dalam hutan berkenaan untuk proses membawa keluar jengkaut yang disita pada Khamis lalu kerana aktiviti pembalakan haram.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata empat mangsa kemudian didatangi lima lelaki menunggang tiga buah motosikal dari arah dalam hutan dengan dua daripada suspek dikenali mangsa.

GAMBAR fail, Jabatan Perhutan Negeri mengadakan operasi dan merampas sebuah jentera berat eskevator dan kayu balak bernilai RM120,000 di Hutan Simpan Sekayu, Hulu Terengganu. - Foto ihsan Jabatan Hutan Negeri
GAMBAR fail, Jabatan Perhutan Negeri mengadakan operasi dan merampas sebuah jentera berat eskevator dan kayu balak bernilai RM120,000 di Hutan Simpan Sekayu, Hulu Terengganu. - Foto ihsan Jabatan Hutan Negeri

Beliau berkata, seorang daripada suspek yang tidak dikenali bertindak membaling guni yang dicucuh api ke atas jengkaut yang disita agensi berkenaan sebelum itu.

“Salah seorang kakitangan agensi berkenaan berusia 45 tahun (pengadu) keluar dari kenderaan untuk memadam api itu namun, salah seorang suspek yang bersenjatakan parang mengugut agar tidak menghalang apa yang mereka lakukan sambil melibas senjata itu ke arah mangsa.

“Tidak mahu memanaskan keadaan di situ, mangsa berundur sebelum semua suspek meninggalkan lokasi kejadian tidak lama kemudian dan api berjaya dipadam kakitangan itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek selepas mesin mereka disita Jabatan Perhutanan Terengganu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baharudin berkata, jentera berkenaan masih berada di lokasi kejadian dan tidak boleh dibawa keluar kerana mengalami kerosakan sebelum satu laporan dibuat di Balai Polis Paka untuk tindakan lanjut.

Katanya, usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Berita Harian X