Ahad, 4 November 2018 | 5:49pm
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan. - Foto Faiz Anuar
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan. - Foto Faiz Anuar

Menantu samun mentua

KLANG: Seorang lelaki tergamak melakukan perbuatan keji dengan menyamun seutas rantai emas milik ibu mentuanya yang berusia 70 tahun dalam kejadian di Kampung Bukit Kapar, di sini, semalam.

Mangsa mengalami retak tulang lengan serta bengkak di pipi akibat pergelutan dengan menantunya.

Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, suspek berusia 43 tahun dipercayai masuk ke dalam bilik tidur sebelum menarik rantai leher yang dipakai mangsa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan, berkata suspek kemudian bertindak keluar rumah sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Katanya, ahli keluarga mangsa kemudian tampil ke balai polis untuk membuat laporan mengenai kejadian itu,

“Mangsa mengalami retak tulang lengan kanan serta bengkak di pipi kanan semasa menghalang kejadian.

“Kerugian adalah seutas rantai emas dan mangsa kini dirawat di Hospital Shah Alam, Selangor (HSAS),” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Mazelan berkata, pada jam 2.30 pagi tadi, sepasukan anggota polis daripada Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Taman Meru.

Katanya, dalam serbuan itu, polis menahan suspek dan isterinya berusia 47 tahun yang juga anak kepada mangsa samun berkenaan.

“Siasatan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dengan dadah.

“Suspek mengaku menyamun mangsa dan isterinya turut ditahan kerana bersubahat dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis kini sedang berusaha mengesan pembeli kepada rantai emas berkenaan yang didakwa sudah dijual.

Berita Harian X