Rabu, 31 Oktober 2018 | 5:02pm

Tegur sampai kena toreh

KUALA TERENGGANU: Malang buat seorang wanita apabila niat baiknya menegur seorang rakan serumah supaya menjaga kebersihan dapur berakhir dengan kecederaan selepas lengan kirinya ditoreh dengan pisau.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam kelmarin, mangsa berusia 43 tahun berada di rumah sewanya di Jalan Balik Bukit di sini, sebelum didatangi rakan serumahnya itu dalam keadaan marah.

Suspek berusia 22 tahun mendekati mangsa sambil memegang sebilah pisau pemotong sayur dan memarahi mangsa sehingga keadaan menjadi tegang dan mereka bertengkar.

“Ketika pertengkaran itu, suspek mengacukan pisau ke leher mangsa sebelum menoreh lengan kiri mangsa sehingga berdarah.

“Suspek yang panik dengan perbuatan itu kemudian keluar daripada bilik mangsa, sebelum mangsa segera ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk membuat laporan,” kata sumber.

Susulan laporan dibuat mangsa, polis menahan suspek yang berasal dari bandar raya ini kira-kira jam 11.10 malam hari kejadian.

Hasil siasatan mendapati, suspek tidak puas hati dengan mangsa selepas ditegur supaya menjaga kebersihan dapur rumah sewa itu dan tidak meninggalkan sisa makanan.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan.

Sementara itu Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Berita Harian X