Selasa, 30 Oktober 2018 | 1:17pm
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Badaruddin Mohamed, 53, ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas pertuduhan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) ASPRM 2009. - Foto Mikail Ong
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Badaruddin Mohamed, 53, ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas pertuduhan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) ASPRM 2009. - Foto Mikail Ong

Pensyarah USM didakwa sembilan tuduhan salah guna kuasa

BUTTERWORTH: Seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa dan kedudukannya mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat milik adik kandungnya membekalkan pelbagai barangan bagi jabatan tempat dia bekerja.

Tertuduh, Badaruddin Mohamed, 53, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Bagi tujuh pertuduhan, Badaruddin didakwa menggunakan jawatannya sebagai Pengarah Pejabat Komunikasi Strategik USM untuk mendapatkan suapan bagi adik kandungnya, Mustafa Kamal Mohamed, dengan meluluskan syarikat milik adiknya itu, Syarikat MK Urusniaga (M) Sdn Bhd, sebagai pembekal bagi kerja-kerja membekalkan pelbagai barangan dan cenderahati seperti PA System dan ‘souvenier glass’ yang kesemuanya bernilai RM153,793 kepada Pejabat Komunikasi Strategik USM antara 23 September 2011 dan 23 November 2012.

Bagi dua lagi pertuduhan terhadapnya, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya sebagai Ketua Sustainable Tourism Research Cluster (STRC) USM untuk mendapatkan suapan bagi adik kandungnya, Mustafa Kamal, dengan meluluskan syarikat milik adiknya itu, Syarikat MK Urusniaga (M) Sdn Bhd, sebagai pembekal 30 unit ‘souvenirs glass’ bernilai Rm3,450 dan biometrik pejabat bernilai RM2,920 kepada Pejabat Sustainable Tourism Research Cluster USM antara 5 September 2011 dan 14 Mei 2012.

Bagi semua pertuduhan itu, Badaruddin didakwa mengikut Subseksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amer Abu Bakar Abdullah dan tertuduh diwakili peguam Rahmatullah Baharuden.

Pada prosiding itu, Amer Abu Bakar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Rahmatullah bagaimanapun membantah dan meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan.

Nizam kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM 24,500 dengan empat penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 29 November depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X