Sabtu, 27 Oktober 2018 | 3:22pm
JAWATANKUASA khas insiden runtuhan di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus menjangkakan dapat mengumpul maklumat dalam tempoh sebulan. - NSTP/Danial Saad
JAWATANKUASA khas insiden runtuhan di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus menjangkakan dapat mengumpul maklumat dalam tempoh sebulan. - NSTP/Danial Saad

Tragedi Bukit Kukus: Jawatankuasa khas kumpul maklumat sebulan

KEPALA BATAS: Jawatankuasa khas insiden runtuhan di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus menjangkakan dapat mengumpul maklumat dalam tempoh sebulan bagi mencari punca dan mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata beliau yang akan menganggotai jawatankuasa berkenaan sedang menyediakan rujukan dan mengumpul maklumat sebelum diserahkan kepada EXCO untuk memutuskan tindakan selanjutnya

Beliau berkata, pembentukan jawatankuasa itu penting bagi membantu EXCO membuat keputusan tepat sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Buat masa ini, EXCO dengar macam-macam perkara hingga susah untuk menilai dan mengambil keputusan maka jawatankuasa ini dibentuk bagi mempermudahkannya.

“Dalam jawatankuasa ini, kita akan melihat dari segi keterlaksanaan dan kepatuhan kontraktor terhadap projek ini sama ada mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika diminta mengulas mengenai pembentukan jawatankuasa khas yang diumumkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Ahmad Zakiyuddin ditemui ketika Merasmikan Liga Memanah Tradisional Petal 3.0 Pulau Pinang di Surau Ar Rayyan, Bertam Perdana, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin menegaskan bahawa jawatankuasanya tidak mengkaji perkara dari segi teknikal dan mengambil tindakan kepada pihak yang didapati bersalah.

“Ingin saya tegaskan bahawa jawatankuasa khas ini dibentuk untuk memaklumkan kepada EXCO mengenai punca kejadian runtuhan berlaku dan siapa yang sepatutnya perlu bertanggungjawab.

“Jadi bermakna, pihak jawatankuasa tidak mengkaji dari segi teknikal dan mengambil tindakan kepada pihak yang melakukan kesalahan sebaliknya itu adalah peranan EXCO,” katanya.

Rabu lalu, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat punca kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa sembilan pekerja warga asing di Bukit Kukus.

Dalam sidang media itu, Kon Yeow dilaporkan berkata, jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan Ahmad Zakiyuddin akan menyiasat dan mengenalpasti pihak bertanggungjawab yang menyebabkan runtuhan berlaku di tapak pembinaan berkenaan.

Menurutnya, jawatankuasa khas itu akan turut dianggotai, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari; wakil Institut Kejuruteraan Malaysia negeri dan seorang jurutera dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Projek bernilai RM545 juta itu berfungsi sebagai laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul dan dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun dari jangkaan asal.

Berita Harian X