Sabtu, 27 Oktober 2018 | 2:43pm
POLIS sedang memburu lelaki dikenali, Zulkifli Juhari atau dikenali sebagai Zul Buntal. - Foto ihsan PDRM
POLIS sedang memburu lelaki dikenali, Zulkifli Juhari atau dikenali sebagai Zul Buntal. - Foto ihsan PDRM

Di mana Zul Buntal?

DUNGUN: Polis memburu seorang lelaki dikenali sebagai Zul Buntal yang menikam seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal menggunakan pisau rambo, Selasa lalu.

Zul Buntal atau nama sebenarnya, Zulkifli Juhari, 37, dari Felda Kerteh 3, mencederakan mangsa hingga menerima tiga jahitan di kaki kanan dalam kejadian di hadapan sebuah kedai jahit di Kertih 3, Ketengah Jaya, di sini.

Zul Buntal dikehendaki untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika mangsa berusia 20-an yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun bersama dua rakan setugas melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Kertih 2 dan 3, Ketengah Jaya.

Beliau berkata, anggota kemudian menerima maklumat mengenai kehadiran suspek yang terbabit dalam kes kecurian motosikal di kawasan Dungun di hadapan sebuah kedai jahit di lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota berkenaan bertindak menahan suspek dengan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum membuat pemeriksaan terhadap tubuh badannya.

“Suspek bagaimanapun tiba-tiba mengeluarkan pisau rambo lalu cuba menikam perut mangsa, namun berjaya ditepis sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Dalam pergelutan itu, suspek bertindak menikam kaki kanan mangsa sebelum cuba menyerang seorang lagi anggota.

“Bagaimanapun, anggota terbabit berjaya menepis serangan itu sebelum suspek melarikan diri menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Baharudin berkata, kejadian menyebabkan mangsa luka pada siku kanan dan calar di belakang badan serta menerima tiga jahitan pada kaki kanan dan mendapatkan rawatan di Klinik Ketengah Jaya kira-kira jam 5 petang.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X