Sabtu, 20 Oktober 2018 | 3:18pm
LOKASI kejadian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut di kuarters sebuah pusat peranginan di Pulau Mantanani, Kota Belud. - Foto ihsan pembaca
LOKASI kejadian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut di kuarters sebuah pusat peranginan di Pulau Mantanani, Kota Belud. - Foto ihsan pembaca

Bayi dikelar ibu dikebumi petang ini

KOTA KINABALU: Bayi malang berusia 8 bulan yang maut selepas dikelar ibu kandungnya sendiri dalam kejadian di Pulau Mantanani, Khamis lalu akan dikebumikan petang ini.

Jenazah Jerry Yohanes dituntut ahli keluarganya dari Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, hari ini, selepas selesai proses bedah siasat.

Keluarga ibu bayi terbabit, Siti Fatimah Yusof berkata, mereka belum dapat memutuskan di mana pengebumian itu akan dilakukan kerana perlu berbincang dengan bapa bayi berkenaan terlebih dahulu.

Katanya, mereka akan mengadakan perbincangan dengan bapa bayi terbabit sama ada jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Telipok atau di Kampung Padang Pulau Mantanani, Kota Belud.

“Selepas selesai proses bedah siasat, kita akan terus bawa bayi ini balik dan saya harap urusan pengebumian ini akan berjalan lancar,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Siti Fatimah berkata, dua daripada tiga beradik yang terselamat dilaporkan sudah berada dalam keadaan stabil.

Katanya, semua kanak-kanak itu masih mendapat rawatan lanjut di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, dekat sini.

“Saya belum pasti macam mana keadaan seorang lagi anak itu... namun kita berharap mereka cepat sembuh,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Jerry Yohanes maut di tempat kejadian, manakala dua kakak dan abangnya parah selepas turut dikelar menggunakan pisau oleh ibu kandung mereka di kuarters sebuah pusat peranginan di Pulau Mantanani, dekat Kota Belud, Khamis lalu.

Dua kakaknya dikenali sebagai Nurul Hanisa, 8, Melati, 7, manakala abangnya Jehan, 5, yang parah sempat dihantar ke Hospital Kota Belud sebelum dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas.

Selepas kejadian, ibu kandung mereka kemudian cuba membunuh diri dengan mengelar lehernya sendiri, namun berjaya dihalang oleh suaminya.

Berita Harian X